15 Nov 2013

Melentur Buluh Dari Rebungnya

Keputusan UPSR sudah diumumkan dan pelbagai reaksi dapat kita lihat, samada oleh cikgu, pelajar & ibu bapa yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Tahniah buat semua yang terlibat. Apa pun keputusannya, anak-anak ini masih jauh perjalanannya dan masih banyak yang perlu ditempuhi oleh mereka. Jadi, keputusan yang diterima, cemerlang ataupun sebaliknya, janganlah dijadikan titik penentu kejayaan & kegagalan mereka.

Sebagai guru dan ibu bapa khasnya, antara tanggungjawab kita adalah untuk memastikan perjalanan anak-anak ini dilalui dengan bimbingan yang seimbang dari aspek fizikal, mental, rohani & emosi. Benarkan mereka membuat kesilapan dan bantu mereka bangkit kembali. Saya ada menceritakan sedikit perihal Ayisha di sini. Dan inilah secubit kisah pengalaman yang saya & suami hadapi dalam setahun pertama persekolahan Ayisha. 


Sebolehnya kami tidak mahu menjadi ibu bapa yang terlalu mementingkan keputusan cemerlang sehingga menekan anak-anak. Ayisha baru saja dalam darjah satu jadi sebolehnya biarlah dia menyambut musim peperiksaan dengan perasaan seronok. Jadi, hanya sedikit ulangkaji dibuat beberapa hari sebelum peperiksaan. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan awal tahunnya sangat memberangsangkan, baik di Sek. Keb. Leftenan Adnan dan juga di Sekolah Agama Ar-Rahmaniah. 

Dan bila tiba ujian pertengahan tahun sekolah agama, Ayisha agak kurang berminat untuk mengulangkaji. Saya & suami juga tidak memaksanya untuk berbuat demikian. Malah saya lihat Ayisha agak over-confident pada ketika itu. Saya cuma mengharap, jika keputusannya tidak sebaik sebelumnya, Ayisha akan menyedari dan belajar dari kesilapannya sendiri. Dan seperti yang dijangka, setiap keputusan yang diterima jelas kemerosotannya. Satu hari, pulang saja dari sekolah selepas menerima keputusan penuh, Ayisha nampak sugul. Masuk saja rumah, dia menangis, "Ayisha dapat nombor 18." Saya cuma tersenyum dan memujuk supaya dia belajar lebih kuat untuk memperbaiki keputusannya di masa akan datang. Saya tidak kecewa malah inilah peluang saya untuk mendidik Ayisha yang kejayaan itu tidak datang bergolek dan usaha yang bersungguh-sungguh adalah tangga kejayaan.

Sebaik saja sekolah maklumkan tarikh peperiksaan akhir, saya nyatakan pada Ayisha yang dia perlu khususkan dua minggu sebelum peperiksaan untuk mengulangkaji. Ternyata kerjaya sebagai WAHM amat membantu dalam masa-masa sebegini. Saya & suami akan pastikan Ayisha membaca buku setiap masa lapangnya termasuk di antara waktu selepas pulang dari sekolah agama dan sebelum ke sekolah rendah. Pada sebelah malamnya pula adalah masa untuk saya membuat soalan latih tubi secara lisan. Ulangkaji matematik dibuat bersama ayahnya. Tempoh masa menonton tv dan bermain komputer juga dikurangkan. Dan bila Ayisha sedikit memprotes, saya akan memberinya pilihan. Dia boleh memilih untuk tidak mengulangkaji tetapi perlu menerima apa saja keputusan peperiksaannya tanpa rasa sedih atau menyesal. Atau, dia boleh teruskan dengan ulang kaji supaya dia tidak lagi pulang menangis kerana keputusan yang teruk. Selama dua minggu, begitulah rutin kami.

Bila tiba minggu peperiksaan, Ayisha nampak cukup bersemangat dan saya cuma doakan yang terbaik saja untuknya. Saya juga berpesan kepada Ayisha, walau apa pun keputusan akhirnya nanti, saya sudah cukup bangga dengan usaha yang dia berikan selama dua minggu sebelumnya.

Dan apabila Ayisha pulang dengan penuh ceria, menunjukkan satu persatu kertas jawapannya, saya akan memeluknya dan mengucapkan tahniah sambil mengingatkan dia yang itu adalah hasil usahanya sendiri. Namun Ayisha tidak hadir bila tiba hari keputusan akhir diumumkan. Dan bila pulang dari sekolah keesokan harinya, Ayisha menangis.

"Kawan-kawan cakap Ayisha dapat nombor 32." 
"Tak apa, yang penting bukan nombor bawah sangat."
"Tapi kelas Ayisha ada 33 orang!"

Saya hanya boleh memintanya bersabar menunggu sehingga Hari Terbuka sekolah untuk melihat sendiri rekod prestasinya. Dan hari ini kami sekali lagi ke sekolah agamanya untuk menerima keputusan peperiksaan akhir tahun dan sekaligus memaklumkan sekolah bahawa kami akan berpindah ke Terengganu. Berikut adalah keputusan yang kami terima.


Ayisha tersenyum panjang selepas menerima keputusan. Dengan markah penuh 487/500, Ayisha meloncat naik ke nombor 7 dalam kelas dan nombor 9 daripada 134 pelajar darjah satu. Alhamdulillah. Saya bukan saja bersyukur kerana usaha yang Ayisha berikan. Malahan yang lebih penting ialah atas peluang yang Allah berikan untuk mendidik Ayisha akan pentingnya usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan akan membuahkan hasil yang sangat menguntungkan. Keputusan peperiksaan sekolah rendahnya juga sangat tidak menghampakan. Tetapi, semua ini mungkin sukar untuk dicapai jika tidak kerana usaha semua guru-gurunya, sejak PASTI, Kumon, Pra-sekolah sehinggalah sekarang. Hanya doa semoga semua yang terlibat sentiasa dirahmati, dimurahkan rezeki & segala urusan mereka dipermudahkanNya. 


Tujuan saya bercerita bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau membangga diri. Sekadar untuk berkongsi pengalaman. Dugaan mendidik anak-anak itu datang dalam pelbagai bentuk dan sebagai ibu bapa, kita perlu kreatif dalam pelbagai situasi baik negatif ataupun positif. Saya pasti, ada ibu bapa yang diduga lebih hebat dan dengah rendah hati saya mengagumi mereka. Dan belum tentu saya mampu bertahan jika berada di tempat mereka.

InsyaAllah, tahun depan giliran si cheeky & chatty Aliyya pula.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home