12 Nov 2013

Kreativiti: Bakat Semulajadi Atau Kemahiran?

Seikhlasnya, saya sendiri tidak berani untuk mengaku diri saya sebagai seorang yang kreatif, walaupun telah mengusahakan Artchetak sejak lebih lima tahun lalu. Bukanlah kerana kreativiti itu sesuatu yang sangat istimewa sehingga hanya segelintir yang memilikinya. Sebaliknya, kreativiti itu sangat umum sifatnya dan ia ada dalam diri kita semua. Kreativiti, secara konsepnya, ialah kemahiran menyelesaikan masalah. Apa yang membezakan kreativiti antara kita ialah cara kita menyelesaikan satu-satu masalah itu. Ia adalah antara kemahiran yang kritikal dalam apa jua bidang, tidak tertakluk hanya dalam cabang seni.

Apa bezanya bakat dan kreativiti? Bakat semulajadi adalah satu bonus, dan jika ia tidak dikembangkan, lama-kelamaan bakat itu akan tenggelam. Tapi, dengan adanya kreativiti, kita boleh pergi lebih jauh dan saya percaya, kreativiti itu boleh digilap.


Pablo Picasso berkata,“Every child is an artist, the problem is staying an artist when you grow up”. Setiap manusia itu dilahirkan dengan kemahiran melukis. Buktinya, lihat saja anak-anak kita. Sebaik sahaja mereka boleh memegang pensil dan menconteng, itu adalah satu kemahiran. Dan apabila mereka mula bersekolah rendah, kemahiran ini diasah menerusi mata pelajaran seni. Tetapi, sebaik saja minat mereka bertukar kepada sukan, tarian, matematik dan sebagainya, kemahiran melukis ini sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Lama-kelamaan ia akan terhenti sepenuhnya. Dan apa yang terjadi bila kemahiran ini tidak lagi digilap? Ya, ia akan luntur.

Kreativiti juga memerlukan kita membuat kesilapan. Mencipta resepi adalah satu proses yang sering melibatkan kegagalan dan percubaan, sehingga terhasilnya resepi yang kita inginkan. Seperti saya yang tidak kreatif dalam pembuatan kek, cukup saja dengan membeli adunan premix. Tetapi, pada yang kreatif, sudah pastinya anda sentiasa ingin memperbaiki adunan premix ini supaya tekstur kek yang terhasil lebih lembut atau lebih tahan lama, misalnya. Dan anda akan cuba menggunakan pelbagai bahan, menghasilkan beberapa biji kek sehingga anda berpuas hati. Mungkin anda tidak menyedarinya, tapi anda sebenarnya sedang terlibat dalam satu proses kreatif.

Dedikasi, kerja keras, berkeyakinan & berani berfkir atau bertindak outside the box adalah antara intipati kreativiti. Adunan kesemua ini ditambah dengan minat yang sangat mendalam, adalah modus operandi mereka yang kreatif. Inilah yang membezakan antara bakat semulajadi dan kemahiran yang kita namakan 'kreativiti.


“Creative thinking is not a talent, it is a skill that can be learnt. It empowers people by adding strength to their natural abilities which improves teamwork, productivity and where appropriate profits.” – Edward de Bono, creativity writer.

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home