21 Nov 2013

Berdikit-Dikit, Lama Kelamaan Jadi Bukit.

Saya percaya, pembelajaran sepanjang hayat adalah antara satu pelaburan penting yang boleh kita ambil untuk diri sendiri. Proses pendidikan tidak sepatutnya berhenti selepas alam persekolahan, ataupun setelah menerima sekeping ijazah. Begitu juga apabila kita memulakan satu-satu kerjaya. Sepertimana mata pisau, jika kerap digunakan, ia akan tumpul. Untuk memastikannya sentiasa tajam, ia perlu diasah, sama seperti ilmu dan kemahiran yang ada pada diri kita.

Blog Artchetak telah berusia lebih dari empat tahun, dengan bilangan pengunjung melebihi 84,000. Namun entry terakhir saya adalah pada awal September 2013. Mungkin kerana sudah agak lama berblog, atau kekurangan idea, saya tidak berusaha untuk membuat sebarang entry baru. Dalam pada masa yang sama, saya sentiasa mengikuti perkembangan Akademi Bekerja Dari Rumah melalui mentor & rakan, Masayu Ahmad, seorang penulis buku.


studio kenaria, WAHM, SOHO

Saya kagum, bukan sahaja dengan sambutan yang diberi, tetapi juga melihat penyertaan yang datang dari pelbagai latar belakang, suri rumah, pelajar, professional, cukup warna-warni. Kerana itu, saya berniat untuk turut sama mendaftarkan diri. Saya memutuskan untuk memulakan blog baru dengan jenama baru, untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu asas grafik & teknikal blog supaya, selain para blogger menghasilkan kandungan yang berkualiti, wajah blog juga perlu diambil kira. Ini berdasarkan pemerhatian saya dengan mengikuti berbagai blog para WAHM dari luar negara. Kebanyakkan mempunyai 'wajah' blog yang cukup menarik, selain artikel-artikel yang padat dan berkualiti. 

Selesai pendaftaran, antara tugasan awal yang paling besar ialah menyiapkan 44 entry pertama. Tulis, tulis & terus menulis adalah antara intipati utama penghasilan blog. Dengan bimbingan mentor, tugasan yang nampak agak berat ini, tidaklah sesukar mana. Apatah lagi melihat rakan-rakan 'sekelas' lain yang lebih laju, ia menjadi satu motivasi untuk menyiapkan tugasan besar ini. Alhamdulillah, walaupun agak sibuk dengan urusan Artchetak dan juga proses mengemas rumah untuk perpindahan ke Terengganu, dalam masa tiga bulan akhirnya saya berjaya menyiapkan 46 artikel.

Melalui pemantauan secara online, mentor saya, Masayu Ahmad, bukan saja membantu memberi tips untuk melancarkan penulisan, bahkan turut memberi kritikan membina bagi menghasilkan artikel yang berkualiti dan digemari pembaca. Walaupun setiap pelajar diberi tugasan yang sama, namun, dengan kelainan dari segi pengkhususan dan latar belakang, saya percaya setiap pelajar melalui pengalaman yang sedikit berlainan. Bagi diri saya, mencari 44 topik yang sesuai dengan bidang blog, membuk peluang saya untuk menuntut lebih banyak ilmu & kemahiran untuk diri sendiri dan sekaligus dapat dikongsikan dengan rakan-rakan WAHM yang lain. 

Sesungguhnya, menyertai Kelas Asas Blog adalah satu langkah yang sangat tepat untuk diri saya. Walaupun sudah lama berblog, melalui kelas ini, saya kembali mengasah kemahiran berblog agar ia lebih 'tajam' dan mengilap lebih potensi. Alhamdulillah juga, saya sudah dapat mengumpul banyak topik untuk dikongsi pada masa akan datang.  

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home