Pencetus Dan Penyuntik Semangat.
Sejak mengandung anak pertama lagi saya sudah pasang angan-angan untuk bekerja dari rumah. Tapi, komitmen kewangan kerana baru membeli rumah, menyebabkan angan-angan tingal jadi angan-angan saja. Selepas habis pantang, nenek tersayang yang kami panggil Jaddah, menawarkan diri untuk menjaga Ayisha sehingga umurnya mencecah enam bulan sebelum dihantar ke pusat asuhan. Alhamdulillah, mudah Jaddah menjaga Ayisha. Dan pertama kali Ayisha dihantar ke pusat asuhan, saya menangis sepanjang perjalanan ke tempat kerja. Selepas setahun setengah, kami tukarkan Ayisha ke pusat asuhan lain kerana kos yuran yang lebih rendah.
Nyata ada sedikit perbezaan walaupun tiada masalah besar, selain masalah selsema yang kerap dialaminya. Cuma tahap kebersihan sedikit kurang daripada pusat asuhan sebelum itu. Beberapa kali, bila tiba di pusat asuhan, saya atau suami dapati dalam lampin pakai buang Ayisha terdapat najisnya yang sudah kering. Bila ditanya pengasuh, jawapannya, Ayisha tak beritahu. Umur Ayisha belum sampai dua tahun. Kami tahan rasa marah kerana bimbang ia akan menjejaskan Ayisha. Sekali sekala saya terfikir, apa yang ada dalam fikiran Ayisha setiap kali kami tinggalkannya di pusat asuhan. Sering terbit rasa bersalah bila mengenangkan anak ditinggalkan dengan orang lain.
Selepas melahirkan Aliyya, mak mertua pula membantu untuk menjaga Aliyya. Namun agak mencabar kerana Aliyya langsung tidak mahu menyusu dari botol. Puas diusahakan, cubaan menggunakan sudu juga gagal. Sudahnya, selama sebulan, saya terpaksa habiskan masa rehat tengah hari untuk berulang alik dari pejabat ke rumah untuk menyusukan Aliyya. Ketika itu saya bekerja di Cyberjaya dan rumah kami di Kajang. Jarak yang tidak terlalu jauh tapi masa rehat saya dihabiskan sepenuhnya untuk memandu pergi & balik antara pejabat dan rumah, dan dengan sedikit baki masa yang amat singkat untuk makan. Sering kali saya kelewatan kembali ke pejabat. Selepas sebulan, akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti kerja. Tidak mudah untuk meyakinkan suami dan mak abah. Tetapi kerana hati sudah nekad, saya hantarkan juga surat perletakan jawatan pada Ogos 2008.
Fast forward ke hari ini, sudah lima tahun saya bergelar WAHM. Lima tahun yang banyak menyimpan cerita susah & senang. Sokongan tanpa henti dari suami & keluarga menjadi tulang belakang. Bagaimana sibuknya dengan anak-anak di siang hari, mencium & memeluk mereka setiap kali mereka masuk tidur, adalah pengubat penat lelah. Dan ketika ibu bapa yang bekerjaya sibuk bekejar untuk ke pejabat di awal pagi, saya pula, menghabiskan lebih masa baring berdakapan dengan anak-anak. Mencium bau 'masam' anak-anak di awal pagi adalah vitamin motivasi pagi yang cukup berkesan.
We worry about what a child will become tomorrow, yet we forget that he is someone today.
~ Stacia Tauscher
Labels: Jurnal Peribadi
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home