8 Oct 2013

Panduan Mudah Mengambil Gambar

Sebagai peniaga online, gambar-gambar produk adalah antara medium iklan yang sangat penting. Selain menunjukkan yang anda adalah seorang peniaga yang professional, gambar yang cantik, jelas & lengkap maklumatnya adalah seperti gula yang menarik pelanggan-pelanggan untuk bertanya lebih lanjut. Peniaga perlu rajin untuk berusaha mendapatkan gambar-gambar yang sesuai. Jangan ambil jalan mudah dengan menggunakan gambar-gambar peniaga lain tanpa izin. Melainkan anda menjalankan perniagaan secara dropshipping atau ejen yang mana selalunya para pengedar atau pengeluar akan menyediakan gambar produk untuk anda gunakan.

Beginilah set-up saya untuk mengambil gambar produk di permulaan peniagaan online saya. Gambar ini diambil pada tahun 2009 untuk blog Artchetak.

Produk & prop

Hasil bidikan & editing mudah.

Kamera yang dibeli pada tahun 2008 dan masih berjasa hingga kini.

Meletakkan diri kita sendiri sebagai pembeli, sudah tentu gambarlah yang menjadi antara tarikan utama untuk kita mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu produk. Walaupun anda yakin dengan kualiti produk anda, anda perlu ingat asas perniagaan online, ialah urusan jual beli secara maya. Anda tidak ada kedai fizikal jadi, pelanggan jarang sekali berpeluang untuk melihat dengan dekat atau menyentuh & mencuba produk-produk anda. Jika ada kemampuan, buat sedikit pelaburan dengan mendapatkan kamera yang sesuai. Tidak perlu kamera DSLR, cukuplah sekadar kamera poket/point-and-shoot asalkan dapat memberi hasil yang memuaskan.

DSLR - sumber: Oneslidephotography.com

Kamera poket/p.o.s - sumber:  nytimes.com

Namun, tidak mengapa jika tiada budget lebih untuk membeli kamera tambahan. Dalam entry kali ini saya akan kongsi tips & panduan untuk mengambil gambar yang lebih menarik tanpa perlu melabur hingga beratus atau beribu ringgit. 

Panduan Mudah Mengambil Gambar (khasnya untuk peniaga online kecil-kecilan)

1. Rancang gambar anda dari perspektif pemasaran. 
Buat pemerhatian dari pelbagai kedai-kedai online yang terkemuka untuk mendapatkan idea bagaimana cara yang sesuai untuk mengambil gambar produk anda. 

2. Pencahayaan adalah faktor terpenting untuk menghasilkan gambar yang menarik. 
Jika gambar sudah cukup terang, maka kuranglah kerja editing dan bertambah cepat gambar produk dapat di muat naik (upload) ke dalam album/blog yang berkenaan. Jurugambar professional mempunyai pelbagai aksesori tambahan untuk mendapatkan pencahayaan yang dikehendaki. Tetapi, bagi kita yang baru mahu memulakan perniagaan, tentulah tidak sesuai untuk mengeluarkan budget tambahan sekadar untuk membeli aksesori-aksesori tersebut. Solusinya ialah dengan mencari ruang yang sesuai di dalam rumah yang mendapat cahaya semulajadi yang secukupnya. Ambil gambar di tepi tingkat, contohnya atau di balkoni, jika ada. Waktu yang paling sesuai selalunya pada waktu pagi, ketika cuaca cukup terang tetapi tidak terlalu terik.

sumber: pcworld.com

3. Sediakan meja atau ruangan khas untuk meletakkan produk anda. 
Tidak perlu beli yang baru, cukup sekadar menggunakan mana-mana meja atau kerusi yang sedia ada. Ambil sedikit masa untuk menyusun produk-produk. Jika anda menjual produk pakaian, tudung contohnya, ambil masa untuk menggosok produk anda. Baju/tudung yang telah digosok nampak lebih kemas & lebih menarik.

4. Latar belakang yang tidak serabut akan menonjolkan produk yang ingin dijual. 
Gunakan kain alas yang kosong atau kurang coraknya supaya gambar produk nampak lebih kemas. Lihat melalui lensa untuk memastikan latar belakang sesuai atau tidak. Produk anda adalah fokus utama.

5. Gunakan props yang menarik & sesuai.
Pastikan props yang digunakan mempunyai tujuan tertentu, supaya anda tidak meletakkan props yang berlebihan. Antaranya, props boleh digunakan untuk membuat perbandingan saiz produk. Bagi produk seperti mainan atau alat pendidikan kanak-kanak, anda boleh gunakan model kanak-kanak untuk menunjukkan cara penggunaan mainan yang betul.

6. Eksperimen dengan pelbagai sudut/angel untuk mendapatkan shots yang terbaik. 
Ambil seberapa banyak shots dari pandangan depan, sisi, atas atau bawah. Gabungkan beberapa gambar dari suut berbeza ini supaya pelanggan dapat mendapat gambaran yang lebih jelas tentang produk anda. 

7. Bina lightbox sendiri
Dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati seperti kotak (saiz yang bersesuaian dengan produk masing-masing), kertas putih (kertas mahjong) anda sudah boleh membina lightbox sendiri. Jika mahu, anda cuma perlu membeli lampu meja untuk kesan yang lebih baik. 


Saya kongsi dua video pembuatan lightbox DIY. 

NAILPRO Video Channel How to Build a Light Box




How to make a Light Box & Top Photography Tips


8. Eksperimen & perbaiki teknik dari masa ke semasa.
Proses mengambil gambar ini adalah proses pembelajaran yang berterusan. Jika ada rezeki, anda akan bertukar peralatan, dari kamera telefon bimbit kepada kamera DSLR. Setiap peralatan, produk serta teknik yang berbeza akan memberikan anda pengalaman serta kemahiran yang berlainan. Jangan putus asa jika masih belum mendapat hasil yang diinginkan. Cuba & cuba lagi. 

Jika ada apa-apa soalan, boleh ajukan kepada saya, insyaAllah saya akan membantu sebaiknya.


There are no rules for good photographs, there are only good photographs. – Ansel Adams

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home